Tuesday, April 5, 2016

DI SINI ADA DIA - BAB 5


TENGKU REDZA menuruti langkah papanya. Wajahnya sedikit tegang. Ada banyak benda yang dia mahu bertanya. Banyak perkara yang dia tidak berpuas hati. Macam-macam terutamanya yang berkaitan dengan Ariani. Entah gadis itu datang dari mana agaknya tiba-tiba berjaya mencuri perhatian bukan sahaja mama tetapi papanya juga.
“Pa…” panggilnya.
“Apa lagi, Redza? Kita dah bincangkan perkara ni.”
Lembut sahaja bicara Tengku Radzi. Dia tahu apa yang si anak mahu perkatakan. Seingat dia segala-galanya sudah dijelaskan sebaik-baiknya. Tiada yang tercicir.
“Redza rasa dengan staf seramai seratus tiga puluh lima tu dah cukup.”
Tengku Radzi menghentikan langkahnya. Wajah si anak yang jelas tidak suka dengan cadangannya tadi direnung. Ketara pengalaman memisahkan mereka berdua. Tengku Redza perlu lebih banyak belajar.
“Bila masa papa kata tak cukup?”
Satu keluhan berat dilepaskan. Tengku Redza tahu papanya cuba bermain kata. Bukannya papa tak faham soalan dia. Ini semua salah gadis itu.
“Papa memanglah tak ada cakap macam tu tapi…”
We need her skill, Redza.”
“Skil apanya, pa? Budak tu kan usahakan spa. Celah mana pula dia ada kemahiran dalam bidang kejuruteraan elektrik ni.”
Tengku Redza merengus. Bengang dengan alasan papanya. Tak dapat diterima akal warasnya. Apa kaitan Ariani yang berniaga spa dengan syarikat kejuruteraan elektrik mereka? Boleh ke Ariani bermain dengan eletrik?
Tengku Radzi ketawa. Saja menambah panas hati si anak yang sedang hangat. Dia tidak menjawab langsung pertanyaan Tengku Redza. Sebaliknya terus meloloskan diri ke dalam perut lif yang kebetulan sudah terbuka.
“Pa!” Tengku Redza menjerit.
Tak sempat dia menahan pintu lif yang mula hendak tutup. Paling menyakitkan hati papanya hanya tersenyum lebar. Membiarkan dia terkapai-kapai di luar ini.
How could you?” Jeritannya bersambung lagi. Kali ini pakej dengan tendangan pada pasu bunga yang menjadi perhiasan di situ.
“Errr… Tengku?”
Tengku Redza berpaling. Terkejut melihat ada tiga susuk yang sedang memerhati dia.
Dia berdeham. Cuba menenangkan dirinya. Perasaan malu mula menyelubungi diri bila menyedari salah satu pasang mata yang melihat adalah milik wanita yang pernah menjadi igauannya. Ah, memang patutlah dia tidak menjadi pilihan. Perangai buruk macam dia. Manalah orang nak terpikat.
“Ada apa-apa yang tak kena ke, Tengku?”
“Awak semua dari mana? Belum masuk waktu makan lagi, kan?” Tengku Redza bertanya sambil melihat jam tangannya. Tajam renungannya memandang ketiga-tiganya terutama Ainan.
“Kami pun macam Tengku juga. Lapar. Kami kan tadi tolong Tengku selesaikan isi borang-borang tender?” Ainan menjawab bagi pihak teman-temannya bila disiku mereka.
“Hmmm…” Tengku Redza menggumam tanpa memandang Ainan dan yang lain. Dia melihat ke luar bangunan. Matanya terhenti pada satu arah. Ada sesuatu yang menarik minatnya di luar sana.
“Errr… kami naik dulu, Tengku?”
Tengku Redza tersentak. Mengangguk laju. Pantas sahaja berlalu dari situ sebelum Ainan dan yang lain-lainnya meninggalkan dia. Takut terlepas mendapatkan ‘sesuatu’ itu.
Ariani termenung. Bersandar lemah pada badan keretanya. Kusut otaknya memikirkan cadangan Tengku Radzi. Tak masuk akal pun ada juga. Ada ke patut Tengku Radzi tawarkan bekerja sambilan sebagai jurutera di sini? Memanglah dulu sebelum membuka perniagaan spa dia pernah bekerja dalam bidang kejuruteraan elektrik tapi berapa banyak sangatlah pengalaman yang dia ada. Kerja pun tak sampai setahun.
Well, well, well!”
Garau suara yang menyapa membuat lamunan Ariani terbang melayang. Terhinggut bahunya. Satu jelingan tajam dilemparkan pada pemilik suara itu. Pantas sahaja dia berpusing. Mahu segera beredar dari situ. Ini juga salah satu sebab mengapa dia rasakan tawaran Tengku Radzi itu perlu ditolak.
Not so fast, young lady.”
Pintu kereta yang sudah separuh dibuka Ariani dihempas kuat Tengku Redza. Tubuh Ariani dibalikkan. Tengku Redza letakkan kedua-dua tangannya di kiri dan kanan Ariani. Mengepung Ariani. Malah jarak antara dia dan Ariani sengaja dirapatkan. Namun masih lagi tidak bersentuhan. Matanya memanah tepat anak mata Ariani.
“Apa ni?”
Garang Ariani menyoal. Membalas renungan tajam Tengku Redza. Ikutkan jantungnya sudah berdetak laju. Gerun dengan tingkah Tengku Redza. Sempat juga dia memerhati ke sekeliling. Malu andai ada yang melihat adegan yang tidak sepatutnya ini.
“You tanya I kenapa?” Jeda.
“You had messed up everything. You made everyone fall for you. Sorry, girl. It doesn’t work for me. Dan You masih lagi berani tanya I kenapa? Jangan berpura-puralah, perempuan!”
Selamba sahaja Tengku Redza menunjal kepala Ariani. Pantas dia menegakkan kembali tubuhnya. Menjarakkan kedudukan. Tidak sanggup lagi bermain mata dengan Ariani. Mata itu bagaikan ada magis. Darjah kemarahannya tiba-tiba saja menurun.
“Gila!” Ariani bertempik. Membetulkan selendangnya. Walhal tiada apa-apa yang terusik pun.
“Ya, memang I gila! Gila sebab you! Muncul entah dari mana sampai semua orang asyik menyebut nama you! Bomoh mana yang you upah untuk tundukkan mereka?” Tengku Redza membalas. Walau suaranya tidak selantang tadi tetapi tonasinya masih lagi keras.
“Eh, Encik Tengku Redza! Awak jangan nak tuduh saya sembarangan, ya.”
Ariani rasa macam nak ketuk-ketuk saja kepala Tengku Redza. Suka-suka saja menuduh dia begitu. Ingat dia tak ada agama ke nak buat benda tak berfaedah tu. Sengal punya lelaki.
“I takkan cakap kalau benda tu tak betul.”
Ariani ketap bibir memandang Tengku Redza yang tarik senyuman sinis. Kalau tadi dia nak ketuk kepala lelaki di depan dia ni. Sekarang dia rasa macam nak cili-cilikan mulut longkang lelaki ini. Bercakap ikut sedap mulut dia aje. Langsung tak pakai otak.
“Suka hati awaklah nak cakap apa.”
Dia terus berpusing. Lebih baik pergi dari sini cepat-cepat. Uruskan spa lagi baik. Ada juga hasil. Bertikam lidah dengan Tengku Redza bukan ada hasil pun. Melayan orang tak ada otak karang dengan dia sekali jadi tak betul.
Pintu keretanya mahu ditutup tetapi seperti ada yang menahan. Dia menoleh ke sisi. Nampak Tengku Redza berdiri di sebelah.
“You duduk diam-diam dekat spa you tu. Jangan berani-berani nak tayang muka dekat sini. I pun tak akan mencemar duli dekat spa you tu. Deal?”
Whatever.”
Ariani buat muka menyampah. Terus sahaja menutup pintu keretanya. Enjin kereta dihidupkan. Pedal minyak sengaja ditekan kuat. Berkali-kali hingga mengaum enjin Mini Cooper S 3 pintu itu. Memberi amaran kepada Tengku Redza dia mampu buat apa saja kalau lelaki itu tak berganjak.
Tengku Redza berganjak ke tepi.
“Gila!” jeritnya bila kereta dipandu Ariani berdesup laju keluar dari petak parkir.
Dia memerhati seketika ke arah jalanraya. Menghela nafas. Cuba mencerna apa yang telah berlaku sebentar tadi.
“Ya Allah, Redza! What have you done? Macam orang tak bertamadun.” Dia menggumam sendiri. Meraup muka. Menyesali tindakannya tadi. Kalaulah ada yang melihat pastinya sekejap saja cerita dia dan Ariani menular di kalangan staf syarikat.
Malas mahu memikirkan lanjut hal tadi, dia mengatur langkah. Masuk semula ke dalam bangunan.
“Tengku!”
Panggilan si penyambut tetamu menghentikan langkah Tengku Redza dari terus menuju ke pintu lif. Hanya mengangkat kening kepada si penyambut tetamu dari jauh.
Mr. Chairman nak jumpa. ASAP.”
“Okey.”
Tengku Redza menyambut perlahan. Bagus juga papa nak berjumpa dengan dia. Lagi pun papa masih berhutang cerita dengan dia. Dekat atas nanti memang habis-habisan dia akan kemukakan alasan membantah rancangan papa.
Pintu lif terbuka. Dia tergamam bila melihat Ainan seperti tergesa-gesa keluar dari perut lif.
“Eh, awak nak pergi mana?” tanyanya. Mata memerhati Ainan atas bawah.
“Klinik.”
“Sakit?”
Ringkas sahaja jawapan Ainan membuatkan Tengku Redza bertanya lagi. Walau hati sudah ditetapkan untuk tidak lagi punya perasaan pada wanita di depan dia ini tapi sikap ambil berat itu masih ada. Bukan kerana mendambakan wanita ini tetapi tanggungjawab sebagai majikan kepada pekerja.
Check-up.”
Pregnant?” Spontan mulut Tengku Redza menebak.
Ainan angguk.
“Oh, tahniah.”
“Saya pergi dulu.”
Tengku Redza memandang seketika Ainan yang buru-buru berlalu dari situ. Dia sendiri kelam-kabut masuk ke dalam lif bila pintu lif hampir sahaja tertutup semula.
Pintu bilik kerja papanya direnung seketika. Dia mengatur helaan nafasnya. Mahu pamerkan ketenangan di hadapan papa. Tidak mahu riak mukanya boleh dibaca papa.
Langkah tenang diatur sebaik sahaja daun pintu dikuak. Kerusi di depan papanya ditarik bila papa memberi isyarat menyuruh dia duduk.
Tengku Radzi bersandar. Memandang si anak yang seperti khayal di dunianya sendiri. Kalau di bawah tadi Tengku Redza mengamuk bagaikan orang yang hilang akal sekarang sikapnya berubah. Entah apalah yang difikirkan. Takkanlah kerana Ariani si anak jadi begini.
“Dah okey?”
“Huh?” Tersentak. Tengku Redza jongket kening.
Tengku Radzi tersenyum. Menanti Tengku Redza sedar dari dunia khayalannya.
She’s pregnant.”
“Huh?” Kali ini giliran Tengku Radzi pula tersentak. Senyuman manisnya tadi langsung mati. Wajah Tengku Redza direnung minta kepastian.
“Ainan. Dia mengandung.”
“Ooo…” Tengku Radzi menghela nafas kelegaan. Hailaa, anak. Nasib saja jantung dia sihat. Buat orang tua ni cuak saja.
“Kenapa?” Bercantum kening Tengku Redza melihatkan reaksi papanya. Papa fikirkan apa?
“Ingat Ariani yang mengandung.” Tengku Radzi ketawa-ketawa. Mati dia kalau Aris tahu dia menuduh Ariani mengandung. Takkanlah gadis sebaik Ariani sanggup menconteng arang di muka kedua orang tuanya.
Mendengarkan nama Ariani, Tengku Redza bagaikan tersedar sesuatu. Otaknya berputar ligat. Membawa dia ke alam nyata. Mengingatkan dia tujuannya datang ke sini.
“Kalau Ariani tu mengandung, apa masalahnya? Baguslah.” Dia mencemik. Mengenangkan kembali tingkah Ariani tadi darjah kemarahan dia pada gadis itu kembali memuncak.
Tengku Radzi berdeham. Cuba untuk bertenang. Cuba untuk berfikir. Cub mencari jalan untuk menenangkan si anak. Tak boleh tersilap cakap. Memang bersoraklah si anak.
“Redza ingat Uncle Aris?”
“Kawan papa yang ada stesen minyak tu ke?” Tengku Redza ingat-ingat lupa pada insan yang disebutkan papanya. Dia hanya meneka.
“Ya, dia.”
“Hmmm… Kenapa dengan Uncle Aris?”
Uncle Aris is doing fine.”
Tengku Radzi tersenyum. Saja melambat-lambatkan ritma perbualan. Sekurang-kurangnya Tengku Redza masih ingat siapa Aris. Mudahlah hala tuju perbualan ini nanti. Harap-harap Tengku Redza faham mengapa dia mengambil keputusan begitu.
So?”
Ternaik tinggi kening Tengku Redza. Rimas bila papanya banyak berteka-teki. Bukan ke tadi mereka berbual perihal Ariani. Apa kena mengena kawan papa dengan Ariani?
“Ariani tu anak Uncle Aris.”
“Oh?”
Kenyataan yang menyakitkan hati Tengku Redza. Apa maksud papa? Nak beritahu dia yang papa terhutang budi dengan Uncle Aris sebab itulah papa sanggup nak menggajikan Ariani yang langsung tak tahu apa-apa pasal bidang kejuruteraan elektrik ni. Nonsense!
Uncle Aris banyak tolong papa masa papa susah.”
Bingo! Tengku Redza tarik senyuman sinis.
“Satu-satunya harapan Uncle Aris ialah nak Ariani bekerja dalam bidang yang dia ambil semasa di universiti dulu. Cumanya dia tak nak Ariani kecil hati dengan impian dia bila tengok Ariani bersungguh-sungguh mengusahakan spa.”
Don’t tell me that she’s an electrical engineering degree holder?
Unfortunately, she is.” Tengku Radzi mengangguk. Mengiakan kata-kata Tengku Redza.
Tengku Redza ketawa. Sukar untuk mempercayai apa yang baru sahaja diberitahu papanya. Gila jauh apa yang sedang Ariani buat sekarang ini. Tak nampak langsung kaitan jurutera elektrik dengan perniagaan spa.
“Jadi Redza faham kan kenapa papa buat keputusan macam tu?”
Tengku Redza menggeleng. Menggeleng bukan kerana tak faham. Faham sangat.
It’s all in your hand, pa.” Habis berkata-kata dia terus bangkit. Beredar dari situ tanpa pamitan.
Kalau dah begitu kata papa, siapa dia untuk membantah. Walau berjela dia hamparkan alasan menolak cadangan papa, adakah papa akan menarik balik keputusannya? Sudah tentulah tidak jika hati teman baik diutamakan.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

12 comments:

  1. geram sangat kt Redza ego tinggi melangit... ingat dia bagus sgt... nak tunjal dahi anak gadis org...

    ReplyDelete
  2. txs for the update. ego tinggi mengalahkan gunung.... tak taulah Ariani boleh tahan tak dgn TR nie... hehe

    ReplyDelete
  3. Wah kemain kerek lagi TR ye... X lama lagi siap meroyan la pulak... Geram pulak kita dgn dia 😳😳😜😜

    ReplyDelete