Wednesday, October 29, 2014

UNTUKMU TIADA NOKTAH - BAB 3


SYIKIN kalut menyelesaikan tugasannya untuk hari ini. Laju kakinya melangkah ke lokar. Tidak sabar nak peluk bantal di rumah. Entah kenapa terasa rindu pada bilik tidurnya menggebu sangat.
            “Ikin!”
            Asyikin menoleh. Matanya menyapa susuk Doktor Naim. Dia mengeluh. Inilah yang cuba dia elakkan beberapa hari sudah. Hari ini terjumpa juga.
            “You cepat-cepat nak pergi mana?” Doktor Naim sudah berdiri di sebelah Asyikin. Stetoskop digantung pada leher. Tipikal doktor.
            “Balik kampung.” Asyikin menjawab acuh tak acuh. Tidak senang dengan soalan Doktor Naim.
            “Balik naik apa? Dengan siapa?” tanya Doktor Naim prihatin. Bibir terukir senyuman cari makan.
            Asyikin dah pandang lain macam pada Doktor Naim. Apahal pula semuanya nak tahu ni. Teman lelaki bukan, tunang pun bukan, jauh sekali suami dia. Ini dah tahap jaga tepi kain orang. Sekarang ni nak bagi jawapan apa? Jawapan selamat atau jawapan jerut leher?
            “Naik bas.” Tak sampai hati pula Asyikin nak mempermainkan Doktor Naim. Kalau dengan rakan-rakan jururawat yang lain memang sedas dia bagi.
            “Kenapa you tak cakap awal-awal? Kalau tak boleh I tukar shift. Boleh hantar you balik sekali.” Nada suara Doktor Naim mendatar. Kesal bila Asyikin kerap membelakangkan dia. Masakan gadis ini tidak tahu isi hati dia.
            “Tak payah susah-susah, doktor. Bas banyak. Rumah parents I bukan jauh mana pun.” Asyikin dah gelabah.
            Apa kes nak hantar dia balik bagai? Mahu kena berleter dengan mak. Orang suruh pergi kerja cari rezeki bukannya cari lelaki.
            “Tak susah mana pun kalau you yang minta tolong, Ikin.” Doktor Naim pandang tepat pada wajah Asyikin. Menghantar isyarat rahsia hatinya.
            “Doktor Naim.”
            Doktor Naim dan Asyikin menoleh ke kanan bila terdengar suara perempuan memanggil nama Doktor Naim.
            “Doktor Marina,” tegur Asyikin dengan senyuman manis. Kedatangan Doktor Marina memudahkan kerjanya. Lega bila dia tidak perlu membalas kata-kata Doktor Naim tadi.
            Doktor Marina menjeling.
            Asyikin dah menyumpah dalam hati. Ini lagi satu parasit. Apahal nak jeling-jeling dia. Bukan dia ada buat salah pun. Ke Doktor Marina ni ada hati dengan Doktor Naim tapi Doktor Naim tak layan? Dia tersenyum simpul.
            Ringan saja mulutnya nak cakap pada Doktor Marina. Angkatlah Doktor Naim ni jadi suami cepat-cepat. Saya pun dah tak larat nak lari dari dia.
            “Ada apa?” Doktor Naim bertanya malas.
            Doktor Marina bagi satu lagi jelingan pada Asyikin.
            Asyikin yang seolah-olah faham maksud jelingan Doktor Marina segera minta diri. Bagus juga Doktor Marina ni datang. Sekurang-kurangnya tak ada lagi sesi soal jawab dengan Doktor Naim.
            “Doktor Naim. I balik dululah. Tak nak ganggu kerja you. See you, Doktor Marina. Assalammualaikum.” Asyikin melambai dan terus keluar dari wad.
            “Ikin!” Doktor Naim ingin mengejar. Dia belum berpuashati lagi dengan jawapan Asyikin tadi. Hatinya menyumpah-nyumpah dengan kedatangan Doktor Marina.
            “Naim.” Lengan Doktor Naim ditarik Doktor Marina.
            “Hesy…” Doktor Naim merengus. Terbantut segala-galanya.
            Doktor Marina hanya tersenyum.
             
             
ABRAR bersandar malas pada pacuan empat rodanya. Memerhati air Selat Tebrau yang mengalir tenang. Saja berhenti di tepi laut. Menghirup udara yang tak berapa segar. Biarlah tak segar. Dia mahu tenangkan otak. Beberapa hari ini fikirannya agak berserabut. Emaknya asyik telefon bertanyakan bila nak bawa balik calon menantu.

Siapa yang dia nak bawa balik tunjuk dekat emaknya? Sudah 6 bulan perhubungan dia dengan Afiqah putus. Perhubungan 5 tahun itu senang-senang sahaja hancur. Gara-gara Afiqah kerap mendesak dia untuk masuk meminang.

Bukan dia tak mahu tapi dia merasakan kedudukan kewangannya belum stabil. Maintenance Afiqah boleh tahan tinggi. Maklumlah Afiqah anak hartawan. Dia hanya anak kampung yang baru nak mengumpul harta.

Bukan, bukan. Kepala digeleng. Dia ada alasan lain yang lebih kukuh kenapa perhubungan dia dengan Afiqah terpaksa diputuskan. Biarlah ianya menjadi rahsia peribadinya. Hanya seorang sahaja yang tahu dan dia berharap orang yang dia percayai itu dapat menyimpan rahsia yang satu ini.

Rakan baiknya, Luqman memberitahu Afiqah sudah bertunang dengan pilihan keluarga. Anak rakan niaga papa Afiqah. Dia cakap, baguslah. Allah dah tetapkan jodoh Afiqah. Dia reda. Antara dia dan Afiqah semuanya sudah menjadi sejarah. Biarlah tersimpan kemas dalam lipatan kenangannya.

Mukanya diraup kasar. Nafas dihela dalam-dalam. Dia berpaling. Berjalan menuju ke pintu sebelah pemandu. Baru tangannya hendak membuka pintu, matanya tertancap pada seorang jururawat yang baru sahaja turun dari jejantas.

Matanya dikecilkan. Memerhati penuh minat. Sepertinya dia mengenali si gadis beruniform putih ini, walau hanya sekali sahaja mereka bersua. Ya, dia masih boleh mengecam siapakah gerangan si gadis.

"Asyikin," tegur Abrar tika Asyikin yang berjalan sambil menunduk melintasi dia.

Asyikin mendongak bila terdengar namanya dipanggil. Jeda seketika. Diamati lelaki yang menegur dia.

"Encik Abrar."

"Panggil Abrar aje. Tak perlu berencik dengan saya." Abrar tersenyum. Lega bila si gadis masih lagi mengingati namanya.

"Sorry. Dah terbiasa berurusan dengan pesakit panggil macam tu." Asyikin tersenyum.

Kakinya diteruskan melangkah. Menghampiri pondok bas. Punggung dilabuhkan pada bangku panjang yang ada di situ.

Abrar menuruti langkah Asyikin. Tidak pasti kenapa dia bertindak begitu. Dia mengikut kata hatinya. Entah kenapa dia rasa ingin berbual panjang dengan gadis ini.

"Nak pergi mana?" tanyanya selepas turut duduk tidak jauh dari Asyikin.

"Balik kampung." Asyikin terjenguk-jenguk ke arah jalan. Takut bas menuju ke kampungnya lalu. Maklumlah waktu-waktu macam ini memang susah untuk dapatkan bas.

"Naik bas? Doktor Naim tak hantar?" Abrar angkat kening. Soalan perangkap. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam.

“Doktor Naim? Nak buat apa dia hantar I?” Asyikin pandang Abrar dengan dahi berkerut. Tiba-tiba petik nama Doktor Naim, apa kes pula lelaki ini.

“Errr… both of you…” Abrar urut belakang lehernya. Kenapa pula dia tanya soalan merepek dekat Asyikin ni? Nampak sangat bebelan emaknya pasal calon menantu terbawa-bawa. Dan ketara sangat yang dia ini macam terdesak mencari calon isteri. Janganlah Asyikin perasan.

“Dia kawan aje. Bukan siapa-siapa pun dengan I. Lagi pun I memang suka naik bas. Senang. Malas nak drive. Rumah parents I tak jauh mana. Dekat kawasan Tampoi aje.” Asyikin tersenyum. Pandangannya beralih ke jalan raya kembali. Ralit memerhati kenderaan yang lalu lintas di hadapan mata mereka.

“Ooo… sorry. I terlupa. You pernah cakap masa pertama kali kita berjumpa.” Abrar tersengih. Abrar, Abrar. Memalukan betul. Benda remeh macam ini pun kau tak ingat? Hatinya berbisik sendiri.

“Tahu tak apa.” Asyikin tersenyum lagi.

“Tampoi dekat mana?” soal Abrar ingin tahu.

“Kenapa? You nak hantar ke? Bagus juga tu.” Kening Asyikin menari-nari.

Why not?” Abrar tegakkan badan. Bersedia untuk berdiri. Kalau Asyikin setuju, memang untung sabutlah dia.

Kidding. Okeylah, Abrar. Bas I dah sampai. Ada rezeki kita berjumpa lagi. Assalammualaikum.” Tangan Asyikin naik menahan bas awam yang ingin dia naiki. Sempat dia melambai pada Abrar sebelum kaki meniti anak tangga bas.

Abrar membalas lambaian Asyikin. Dia merenung bas yang dinaiki hingga bas tersebut berlalu. Termenung dia seketika.

“Kenapalah aku tak berkeras nak hantar dia tadi? Rumah sewa aku pun dekat kawasan Tampoi juga.” Dahinya ditepuk.

“Kenapalah kau lembap sangat Abrar.” Kali ini dia menggeleng pula. Lalu bingkas bangun dan masuk ke kenderaannya. Perlahan-lahan pacuan empat rodanya dipandu berlalu dari situ.

Asyikin termenung. Bas yang dinaiki bergerak perlahan. Waktu petang begini Jalan Skudai memang selalu sesak. Waktu orang balik kerja. Memang selalu macam ni. Zaman bila agaknya Johor Bahru ini akan ada LRT seperti di Kuala Lumpur? Kalau ada bukan ke bagus. Tak perlu menghabiskan masa di atas jalan raya.

Lebih kurang 20 minit perjalanan, sampai juga Asyikin di taman perumahan rumah keluarganya. Dia melangkah turun dari tangga. Berdiri di tepi hentian bas. Menunggu sehingga tiada kenderaan yang lalu barulah dia boleh melintas.

“Asyikin!” Suara lelaki menjerit memanggil namanya.

Asyikin tertoleh-toleh. Sudah, siapa pula yang panggil dia ni? Dia cuba mencari arah datangnya suara yang memanggil.

“Asyikin!” Ada tangan yang melambai dari Toyota Land Cruiser. Berhenti tidak jauh dari pondok bas yang dia berdiri sekarang ini.

Crap.” Asyikin gigit bibir. Susuk tubuh lelaki yang sedang berjalan menghampirinya dipandang. Lelaki ini mengekori dia ke?

“Satu taman rupanya kita.” Lelaki itu tersenyum-senyum. Nampak gembira sekali wajahnya.

“Abrar.” Asyikin tersengih.

“Macam berjodoh pula.” Abrar masih lagi tersenyum.

“Rumah you pun dekat sini juga ke?” tanya Asyikin. Cuba untuk tidak memanjangkan kata-kata Abrar tadi. Tidak selesa walau berkemungkinan lelaki ini bergurau.

“I menyewa. Duduk bujang. Seorang,” beritahu Abrar panjang lebar.

“Ohhh…” Asyikin tersenyum.

“Rumah you dekat dalam ni?” Jari Abrar menuding pada kawasan perumahan rakyat di belakang Asyikin.

“A’ah. Errr… I kena gerak sekarang ni. Bising pula emak I nanti.” Asyikin segera minta diri. Tidak mahu berlama-lama di situ. Buatnya ada jiran atau kenalan mak dan ayahnya nampak, kecoh satu taman ini nanti. Bukan itu sahaja, bersedialah menadah telinga mendengar bebelan emaknya.

“Asyikin,” panggil Abrar.

Asyikin menoleh. Kening diangkat.

“You ada telefon?” Abrar urut pelipis. Apa punya soalan ni, Abrar? Apasal kalut semacam ni?

“Zaman sekarang kalau tak ada telefon baik duduk zaman batu, Abrar.” Asyikin menggeleng. Rasa ingin sahaja dia ketawa. Nampak lelaki di depan dia ini gelabah semacam. Seperti tidak pernah berkawan dengan perempuan. Comel.

“Errr…” Abrar termalu sendiri.

“Bagi I telefon bimbit you.” Asyikin hulur tangan.

Abrar bagai dipukau. Kalut mengambil telefon bimbit di kocek seluar. Dihulurkan kepada Asyikin.

Asyikin menaip nombor telefonnya. Seketika terdengar telefon bimbitnya berbunyi.

Save my number. Assalammualaikum.” Asyikin kenyit mata. Melemparkan senyuman manis sebelum berlalu meninggalkan Abrar.


Cheeky.” Abrar tersenyum. Susuk Asyikin diperhatikan sehingga hilang dari pandangan matanya.

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

14 comments:

  1. Ooo.. Bru brkenalan rupa nya hihihi... Tak sabar nak tau seterusnya...

    ReplyDelete
  2. nak lagiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii kak syeena..hahahahh

    ReplyDelete
  3. yeay!!! lagi kak..hehe.. apa kata kan..kan..kan.. akak sambung sampai penerbit da lulus penilaian utk dibukukan..hehehe..ley x? newey, thanx eh kak..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Permintaan dia sangattttt.....sabarlah ya...

      Delete
    2. sabar ni kak, harap xmembebankan akak la eh..hehhe..apa2 pun saya ttp sokong karya2 akak..xsabar nak peluk semua novel2 akak.. :)

      Delete
  4. ewah...sombong sangat tu abrar..nsb baik cpat bertindak

    ReplyDelete