Saturday, November 14, 2015

PEMILIK KUNCI HATIKU - BAB 1


KUNCI sudah elok dalam genggaman tetapi dia ada masalah besar. Masalah yang dia cari sendiri. Matanya melilau memerhati sekeliling. Hatinya berdetik kenapalah hari ini, saat ini, minit ini, semua orang sibuk pergi membeli-belah macam dia.
"Ya Allah, aku park dekat mana?"
Alanna rasa macam nak menangis tapi yang sebenarnya dia lebih rasa nak hantuk kepala dekat dinding. Penyakit pelupa dia memang dah tahap gaban ni meminjam kata-kata Zurina, PA dia. Buat pertama kali dia sependapat dengan Zurina. Kalau dia tahu memang dia angkut sekali PA merangkap teman baiknya itu.
"Excuse me."
Shoot! Masa-masa macam inilah ada pula orang sibuk-sibuk nak tanya jalan. Lantas Alanna berpaling. Gerakannya terhenti tetapi kalau Tuhan jadikan bola mata ini tidak tetap di tempatnya, rasa-rasanya bola mata dia berpusing 360 darjah tanpa henti.
Allah! Figura di depannya ini sangat memikat. Sedap mata memandang. Orang kata boleh dijadikan suami. Kalau dapat ni memang dia tak akan lepaskan.
Alanna! Tolong berpijak di bumi yang nyata. Entahkan lelaki ini suami orang ke. Tak pun tunang orang ke. Paling tidak pun pakwe orang.
"Miss! Miss!"
Petikan jari di depan wajah Alanna menyedarkannya.
"Errr..." Tersipu-sipu dia macam perempuan melayu terakhir. Malunya. Ini lagi satu masalah dia. Pantang tengok lelaki yang macam stok-stok lelaki di depan mata dia ni. Memang dia mudah lupa diri.
"Perlukan pertolongan?"
Aduh! Kenapa lelaki ni macam tahu-tahu aje? Sekarang ni Alanna serba-salah. Perlu jawab ke nak jual mahal? Alanna, grab the chance. Cehhh... hati pembelot. Tadi mengutuk sekarang suruh buat jahat pula.
"Lupa park kereta dekat mana." Suaranya berubah sayu sambil Alanna tayang kunci kereta. Lakonan kena mantap. Well, sia-sialah ambil kursus performing arts kalau tak pandai berlakon. Walaupun berlakon tu bukan menjadi kariernya.
"Hurmmm... Sini. Saya cuba." Lelaki itu menghulurkan tangannya.
Alanna tanpa prasangka terus menyerahkan keretanya. Kalau Zurina tahu memang teruk dia kena bebel. Mudah sangat percayakan orang yang tak dikenali. Sorry, my dear PA. I can't help it. Si dia ini dah berjaya menawan hatiku.
"Kereta awak dekat hujung sana tu." Jari telunjuk lelaki itu menuding pada Honda Freed putih yang sedikit tersorok di antara dua kenderaan pelbagai guna di petak parkir paling hadapan.
Mata Alanna mengikut telunjuk jari lelaki itu. Dia rasa macam nak buat lompat bintang. Betullah. Baru dia teringat. Memang dia park keretanya betul-betul di depan pintu masuk kompleks membeli-belah ini.
"Adham sayanggg..."
Alanna dan lelaki itu serentak berpaling.
Liur Alanna terasa kesat. Macam ada pasir dalam kerongkongnya. Bukan, bukan pasir tetapi batu. Errr... perempuan tua ni panggil siapa? Lelaki yang menolong dia ini ke? Tak kannn... tapi siapa aje yang ada dekat sini selain dia dan lelaki ini.
"Yup." Lelaki itu tersenyum.
Crap! Gigolo ke apa? Stok-stok muka suci ini gigolo? Itulah Alanna. Siapa suruh cepat sangat cair. Lelaki kacak tak semestinya lelaki yang baik-baik. Noted.
“Kata dah nak balik? Buat apa dekat sini? Kalut umi keluar. Banyak lagi barang tak sempat beli.”
Kening Alanna terjongket tinggi. Kenapa dia rasa macam nak termuntah sangat ni? Gelilah bila perempuan tua merengek pada lelaki muda. Macam dah tak ada lelaki sebaya yang boleh dibuat teman.
Sekarang ni, boleh tak dia nak rampas kunci kereta miliknya yang ada dekat tangan lelaki ini dan terus berlari ke keretanya? Agak-agak macam kurang ajar tak?
Keningnya kekal ternaik bila melihat tangan lelaki ini sudah mendarat pada kedua-dua bahu perempuan tua itu.
“Umi belilah apa-apa yang umi belum beli. Am tunggu dalam kereta.”
“Betul ni?”
“Ya.”
“Sayang anak umi.” Perempuan itu terus berpaling. Masuk semula ke dalam pusat membeli-belah.
Anak? Alanna rasa macam tercekik alir liur sendiri. Jahatlah otak dia. Selalu sangat berprasangka yang bukan-bukan.
"Awak. Awakkk..."
Adham sengaja meleretkan suaranya. Mana tahu hati gadis ini cair macam gadis-gadis lain yang dijumpainya setiap hari. Cuma dia terperasankan sesuatu. Gadis di depan dia ini nampak macam bimbo tapi pada masa yang sama nampak sangat naif.
"Alanna." Tanpa silu Alanna memperkenalkan dirinya.
"Oh!" Adham tersenyum. Bimbo plus naive.
"Tadi tu..." Mata Alanna mencerlung susuk tubuh yang semakin mengecil meninggalkan mereka berdua.
Adham mengangguk seolah-olah faham apa yang ingin diperkatakan.
Untuk sekali lagi Alanna rasa macam nak hantuk kepala dia ke dinding. Telahan dia tersasar. Sangat jauh tersasarnya. Ini kalau dia ceritakan semula pada Zurina mahu dia dikutuk kaw-kaw. Kenapalah dia boleh terfikir sampai ke situ. Kalaulah Adham boleh membaca hatinya, memang dia tak tersenarai langsung sebagai calon isteri.
Errr... betulkan nama lelaki ini Adham? Betullah agaknya. Nama itulah yang disebut perempuan tua tadi. Dia belum pekak. Wait! Alanna, jangan perasan boleh tak? Calon isteri bagai. Ingat sekali jumpa boleh terpaut? Mana ada lagi cinta pandang pertama.
"Ingat lagi kereta awak dekat mana?" Adham bertanya lanjut bila dilihat Alanna macam berkhayal. Tersenyum-senyum. Sedar ke tak sedar gadis ni?
Laju anggukan Alanna.
"Comel," terpacul spontan dari mulut Adham. Naif. Sangat naif. Sah, gadis ini separa sedar. Terbit senyuman di bibirnya. Tercuit hati kecilnya dengan tingkah Alanna.
“Apa?” Alanna memandang Adham.
Dia macam terdengar Adham memuji dia comel. Untuk pengetahuan semua kalau bab-bab orang lemparkan pujian kepada dia, dia sangat prihatin. Tak kabur.
Adham tersentak. Dia ingatkan Alanna tak mendengar patah katanya. Alanna dengar rupa-rupanya. Tadi nampak macam berangan sebab itulah dia berani memuji.
“Saya cakap kereta awak comel.” Dia menipu.
“Ooo… Itu sajalah satu-satunya kereta comel yang ada dekat rumah saya. Yang lain-lain semuanya tak masuk jiwa.” Alanna tersengih. Teringat deretan kenderaan mewah tersadai di rumahnya. Entah bilalah dia punya keberanian hendak memandu setiap satu darinya.
“Bunyi macam banyak aje kereta awak?” Adham mengusik. Sengaja mahu memancing Alanna meneruskan perbualan mereka. Dapatlah hilangkan rasa bosannya sementara menunggu uminya selesai membeli-belah.
“Banyak tak banyaklah.” Alanna hanya mengangguk.
Adham senyum sahaja. Dah tak ada modal nak berbual bila jawapan Alanna langsung tak membantu dia bertanya lanjut.
“Eh, saya kena balik sekaranglah!”
Tiba-tiba Alanna teringatkan pesanan Zurina yang meminta dia datang segera ke butik. Banyak pesanan pelanggan yang memerlukan pengesahan dari dia sebelum barang-barang boleh dipos keluar.
So soon?” Rendah tonasi suara Adham.
“Errr…” Alanna gigit bibir bawah.
Adham tak bagi dia balik ke? Jangan nak perasan Alanna. Dia menggeleng perlahan. Sempat matanya meneliti seluruh wajah Adham. Nak cari bukti kebenaran telahannya.
“Sini saya bawakan barang-barang awak tu,” pinta Adham.
“Eh, tak apa. Saya boleh bawa sendiri. Sikit aje ni.” Mata Alanna jatuh pada tangan kiri dan kanannya yang sedang menjinjit lebih 5 buah beg kertas.
Sungguh dia terlupa kalau Adham tak meminta. Kuat betul aura Adham. Baru kini terasa macam nak tertanggal dah tangan dia. Agaknya sebab lama sangat berdiri di tengah-tengah tempat letak kereta ni.
“Awak ambil kunci ni dan pergi buka boot. Saya tolong bawakan.” Pantas Adham mengambil beg-beg kertas di tangan kanan Alanna sebelum menyerahkan kunci kereta Alanna. Beg-beg kertas di tangan kiri Alanna turut diambil sama.
Alanna tiada pilihan. Dia akur. Lantas berlenggang dia berjalan menuju ke keretanya.
Adham telan liur. Menggeleng sebelum mengekori langkah Alanna.
"Terima kasih."
Sungguh Alanna tak sangka ada lagi lelaki budiman dekat Malaysia ni. Punyalah tadi beria-ia dia menolak. Tak perlu rasanya Adham buat macam tu tapi Adham relaks aje bimbit barang-barang dia menuju ke kereta. Siap masukkan dalam boot kereta lagi.
"Hal kecil je," balas Adham lembut bersama kenyitan nakal.
Dia ikhlas. Tak bermaksud apa-apa. Lagi pun bukannya berat mana barang-barang Alanna. Manalah tahu Alanna sudi hulurkan salam perkenalan. Untung-untung tahun ni dia dapat pasangan halal. Bolehlah tepis fitnah-fitnah yang dilemparkan pada dia.
"Errr... Awak tak nak balik?"
Serba-salah sebenarnya Alanna nak bertanya. Yalah Adham boleh pula bersandar santai pada Cik Freed dia. Bukan menghalau. Kalau Adham sudi nak temankan dia, dia okey saja. Luas stadium larkin dia tadahkan tapi mereka bukan siapa-siapa. Tak manis kut.
"Oh, maaf!"
Wajah Adham bertukar rona. Merah. Segera dijarakkan tubuhnya dari kereta Alanna. Leka dengan impian yang bukan-bukan hingga lupa diri seketika.
Spontan dia menurut langkah Alanna ke sisi kereta sebelah pemandu. Laju dibukakannya pintu kereta. Sedar Alanna terkejut dan malu-malu dengan perbuatannya tapi seperti yang difikirkannya. Manalah tahu tersangkut.
"Errr..." Untuk sekian kalinya Alanna hilang kosa kata. Ini buat dia tak sabar nak balik butik dan bercerita dengan Zurina. Tiba-tiba terlintas untuk beri nombor telefonnya pada Adham. Tak salahkan untuk tambah kenalan.
"Hati-hati."
Lamunan Alanna mati mendengar suara Adham. Dia ingatkan lelaki itu dah beredar. Masih setia menanti dia rupa-rupanya. Nak bagi ke?
"Maaf banyak-banyak dah menyusahkan awak." Dia berbasa-basi.
"Macam saya cakap tadi, hal kecil je." Adham tersenyum.
"Hmmm... Sekejap ya." Alanna capai sehelai kertas kecil. Ditulis sesuatu. Selesai. Dihulur kepada Adham.
Berkerut-kerut dahi Adham membacanya.
"Hingga di lain pertemuan. Assalammualaikum."
Terus Alanna gerakkan keretanya sebaik sahaja enjin dihidupkan. Tak sanggup nak tengok muka Adham lama-lama. Sudahlah dia nampak macam gatal sangat bagi nota tu.
Adham hanya mengangguk. Senyumannya yang lebar tadi berubah kelat. Memandang kereta Alanna hingga hilang.
"Facebook? Apa tu?"

P/S Harap kawan-kawan dapat tinggalkan komen. Terima kasih atas sokongan anda semua.

14 comments:

  1. Adham tak ada fb ka? Br nk add.... ngeee.. kak syeena, debaik.

    ReplyDelete
  2. hahaha don't tell me adham tak tau apa itu 'facebook'

    ReplyDelete
  3. Haha .. comel lah Alanna ni, part facebook tu lawak syeena. Dua2 terpikat pada pandangan pertama

    ReplyDelete
    Replies
    1. hikhikhik... yalah...masing2 terpikat tp tkt nk luahkan

      Delete
  4. Apa fb adham... nk add lah,, hihi..
    Sweet lah cerita ni..

    ReplyDelete
  5. Adham ni stok yang boleh buat calon suami terhebat pada Alanna... Adham x tahu Facebook tapi Face to Face tahu..hahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. pandai kak sue....kannnnn.... leceh facebook tu... face to face lagi seronok...

      Delete